Thursday, 21 November 2013

Zed Zaidi Presiden Seniman yang tak Sah? Bace ni

Pelakon Zed Zaidi hilang jawatan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) secara automatik selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis memutuskan Mesyuarat Agung Seniman kali ke-14 yang diadakan pada 25 Mei tahun lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop turut mengarahkan Mesyuarat Agung diadakan semula dalam tempoh dua bulan dari tarikh hari ini yang akan dikendalikan oleh Pendaftar Pertubuhan.
Rosilah turut memerintah agar kos perbicaraan RM60,000 dibayar kepada Seniman dalam tempoh sebulan oleh defendan kedua hingga kelapan.

Kesemua defendan tersebut juga perlu membayar kos ganti rugi khas RM56, 000 kepada plaintif.

usteru itu, beliau berkata pemilihan keseluruhan ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Seniman bagi sesi 2012/2015, Laporan Kewangan bagi tahun 2011 dan minit Mesyuarat Agung Ke-13 yang dibentangkan pada Mesyuarat Agung Ke-14 juga adalah terbatal dan tidak sah.

Rosilah memerintahkan defendan kedua hingga keempat iaitu bekas presiden persatuan itu Haron Aminar Rashid Salim atau Harun Salim Bachik, Omar Kamarudin dan Wafa A.Kadir membayar gantirugi khas sebanyak RM56,000 berhubung pembelian hartanah di Setiawangsa kepada Persatuan Seniman.

Beliau juga memerintahkan defendan membayar kos RM60,000 kepada kesemua plaintif.

Pada 25 Jan lepas lima artis veteran Abu Bakar Omar, Sahlan Sudiran, Mior Ahmat Zaudi Mior Ali, Datuk Abdullah Sani, dan Roslinda Buang memfailkan saman terhadap persatuan itu dan tujuh lagi.

Mereka menamakan persatuan itu, presidennya ketika itu Harun Salim Bachik, setiausaha Omar Kamarudin atau Yusof Kelana, bendahari Wafa A.Kadir dan Zed Zaidi atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil, yang semasa itu pemangku timbalan presiden sebagai defendan.

Tiga lagi ialah anggota jawatankuasa persatuan itu Elyas Ismail, Syed Ahmad Nahar Syed Mokhtar dan Zaharudin Wahab.

Rosilah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan saksi-saksi plantif dan defendan dan beliau mendapati plaintif telah berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap defendan.

Rosilah berkata sepanjang perbicaraan saksi-saksi defendan terutamanya Harun Salim Bachik, Yusof, dan Zed Zaidi telah memberi keterangan bercanggah dan tidak konsisten.

"Mereka sering mengelak dari memberi jawapan kepada soalan-soalan yang jelas dan mudah daripada peguam plaintif," katanya sambil menambah jawapan-jawapan yang bercanggah itu juga boleh merosakkan kes defendan dan beratnya beban keterangan pada saksi-saksi ini adalah rendah kerana sikap buruk mereka.

Rosilah berkata mahkamah mendapati perjanjian JualBeli Hartanah oleh Persatuan Seniman pada 30 Jun 2010, telah dilaksanakan berdasarkan tipuan defendan-defandan dan tanpa kebenaran dan kelulusan Mesyuarat Agung persatuan itu.

"Pihak defendan sendiri telah akui yang Perjanjian JualBeli hartanah ini adalah tidak sah dari awal lagi. Maka dengan itu berdasarkan semua alasan- alasan di atas saya dapati Perjanjian JualBeli Hartanah ini adalah terbatal dan tidak sah," katanya.

Rosilah berkata dari keterangan yang dikemukakan, persatuan itu telah mengalami kerugian sebanyak RM56,000 bagi pembelian hartanah itu dan oleh itu mahkamah mendapati plaintif-plaintif berhak kepada kerugian itu.

Beliau juga berkata perbuatan defendan-defendan mengadakan minit mesyuarat yang berbeza dengan yang difailkan dengan Pejabat Pendaftar dan Buku Laporan Mesyuarat Agung Ke-14 adalah berniat menipu ahli-ahli persatuan dan bermotif jahat.

Plaintif dalam pernyataan tuntutan mereka memohon satu deklarasi bahawa Mesyuarat Agung Persatuan Seniman ke-14 serta Laporan Kewangan Tahun 2011 dan minit mesyuarat agung yang dibentang pada 26 Mei 2012 adalah tidak sah dan terbatal.

Ini kerana mereka mendakwa selain plaintif dan defendan, terdapat beratus-ratus lagi yang hadir pada mesyuarat itu diragui keahliannya.

Mereka juga memohon deklarasi pemilihan anggota jawatankuasa persatuan yang diadakan pada mesyuarat berkenaan juga tidak sah.

Plaintif juga memohon ganti rugi am, teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain menuntut Harun Salim Bachik, Yusof Kelana dan Wafa membayar RM56,000 kepada persatuan itu atas dakwaan menyebabkan kerugian kepada persatuan itu berhubung pembelian hartanah.

Plaintif yang juga penggiat seni Abu Bakar yang hadir hari ini memberitahu pemberita bahawa beliau bersyukur dengan keputusan itu dan berharap keputusan itu akan menjadi pengajaran kepada persatuan lain supaya tidak mengamalkan perkara yang tidak betul.

No comments:

Post a Comment