Polis Kedah sedang memburu seorang remaja lelaki dipercayai teman Nor Syafikah Nadia Rusdi, 14, yang dipercayai dibunuh bersama dua adiknya dalam satu kejadian Jumaat lalu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, berkata remaja yang dipercayai berada di Arau, Perlis itu diperlukan untuk membantu siasatan polis berhubung pembunuhan tiga beradik berkenaan.
"Polis mempunyai bukti terkini dan saksi yang membantu siasatan kes itu yang diklasifikasikan sebagai bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Saya yakin remaja belasan tahun ini dapat dikesan dalam tempoh terdekat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kereta Spanco Proton Preve kepada Ketua-Ketua Polis Daerah negeri ini di Ibu pejabat Kontinjen Kedah, Alor Setar, hari ini.
Mayat dua adik Nor Syafikah, Puteri Nurul Akma, 3; dan Nur Izzati Husna, 12; ditemui jam 3.45 petang semalam dalam terusan Mada di Kampung Padang Tani, Langgar, kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat Nor Syafikah ditemui di sawah Kampung Alor Senibong, Langgar pada petang Sabtu.
Tiga beradik itu berasal dari Alor Semela, Jalan Datuk Kumbar di Alor Setar.
Tiga beradik itu keluar dari rumah mereka dengan motosikal dikendali oleh Nor Syafikah Nadia jam 7.30 malam hari Jumaat lalu dan tidak balik selepas itu.
Ahmad berkata, polis yakin tiga beradik itu tidak bunuh diri kerana terdapat unsur perbuatan jenayah berdasarkan keadaan mayat Nor Syafikah.
Beliau merayu orang ramai yang mempunyai maklumat atau ternampak kejadian tersebut tampil membantu siasatan.
Sementara itu, katanya, bedah siasat mayat Puteri Nurul Akma, dan Nur Izzati Husna dibuat pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar. - Bernama,
No comments:
Post a Comment