Tuesday, 3 December 2013

Isu kenaikan tarif elektrik..ini kenyataan media Pemuda PAS

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA

KENAIKAN TARIF ELETRIK : KERAJAAN BERDENDAM DENGAN RAKYAT?
(3 Disember 2013)

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah keputusan kerajaan untuk menaikkan tarif eletrik sebanyak 14.98% atau 4.99 sen hingga 38.53 sen per kWh bagi Semenanjung Malaysia dan manakala 16.9 peratus atau lima sen bagi Sabah dan Labuan yang berkuatkuasa Januari tahun depan.

DPPM menganggap kenaikan tarif eletrik ini sebagai tidak wajar dan membebankan pengguna. Kerajaan tidak patut menaikkan tarif eletrik hanya kerana mahu mengurangkan subsidi minyak bagi bekalan kuasa sehingga memberi kesan kepada pengguna. Soalnya, apakah kerajaan sudah tidak mampu sehingga mengambil langkah penyelesaian yang membebankan rakyat?

Dalam keadaan harga barangan keperluan seperti minyak petrol dan diesel baru dinaikkan beberapa bulan yang lalu, ditambah pula dengan harga gula, manakala penduduk di Kuala Lumpur menerima bebanan tambahan dengan kenaikan cukai pintu, kini tarif eletrik pula menambah perit penderitaan rakyat.

Sepatutnya kerajaan melihat kemampuan rakyat sebelum membuat keputusan untuk menaikkan sesuatu keperluan. Masih ramai rakyat yang terkial-kial bertarung dengan kos sara hidup yang tinggi, sementara masih lagi ramai yang hidup di bawah paras kemiskinan. DPPM melihat kenaikan ini pasti memberi impak yang besar terhadap rakyat seluruhnya serta akan memberi kesan terhadap harga barangan dan industri kecil dan sederhana yang sedang berkembang.

Masalah utama kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah masalah IPP. Perjanjian yang berat sebelah menyebabkan TNB menanggung kos yang tidak perlu. Sepatutnya keutamaan kerajaan adalah menyemak semula perjanjian IPP bukannya menaikkan tarif eletrik.

Selepas ini rakyat akan membayar 15 peratus tambahan untuk kos eletrik mereka dan terpaksa membayar harga tambahan untuk kos barangan keperluan yang juga akan meningkat. Pendapatan mereka yang tidak seberapa terpaksa dihabiskan untuk membayar segala utiliti keperluan rumah sehingga ramai terpaksa memilih untuk mencari pendapatan tambahan untuk menampung hidup mereka.

Pendapatan boleh guna akan semakin mengecil dan menguncup sehingga mengurangkan pilihan buat rakyat dalam berbelanja. Golongan peniaga pula tidak akan berdiam diri untuk mengekalkan harga lama dalam industri perniagaan mereka kerana kos pengeluaran selepas ini akan menjadi lebih mahal dari sebelumnya. Menaikkan harga barangan adalah jalan yang terpaksa ditempuh bagi survival perniagaan mereka serta untuk mengembangkan ekonomi mereka.

Golongan peniaga industri kecil dan sederhana juga akan menerima kesan langsung dari kenaikan ini. Mereka terpaksa membayar tarif eletrik lebih dari pengguna biasa berkali ganda dan ia amat membebankan bagi golongan ini. Persaingan dengan peniaga dalam industri yang sama memaksa sebahagian mereka mengambil langkah ‘gulung tikar’ dan terpaksa mencari sumber pendapatan lain bagi menampung keperluan hidup mereka.

Apa yang menyedihkan, rakyat Sabah, Sarawak dan Labuan akan menderita lebih ekoran kenaikan yang lebih berbanding semenanjung Malaysia. Walaupun hanya 62 peratus tidak termasuk dalam penyelerasan tersebut, tetapi ada 38 peratus atau 158,000 pengguna yang akan terkesan dengan kenaikan ini. Dalam keadaan demikian, gangguan bekalan eletrik di Sabah kerap berlaku manakala terdapat lebih 23% kawasan pedalaman di Sabah masih tidak mendapat kemudahan eletrik.

Apakah alasan lain untuk kenaikan tarif di Sabah dan Sarawak memandangkan Sabah adalah pengeluar petroleum yang utama. Data pada tahun 2011 mencatatkan hasil petroleum Sabah adalah sebanyak RM 16.26 bilion. Mengapa tidak dimanfaatkan hasil bumi tersebut kepada penduduk Sabah keseluruhannya?

SUHAIZAN KAYAT
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment