Tuesday 17 December 2013

Ini Pendirian PAS isu Tol . BACA NI


PAS desak kerajaan kaji perjanjian konsesi lebuh raya

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
December 17, 2013
Latest Update: December 17, 2013 08:00 pm

PAS mendesak kerajaan mengkaji semula perjanjian bersama syarikat konsesi tol bagi mengakhiri kontrak kepada syarikat yang telah mendapatkan keuntungan dan modal supaya masalah bebanan tol dapat dikurangkan.

Pengarah Kajian dan Penyelidikan PAS Dr Dzulkefly Ahmad berkata dengan semakan perjanjian itu, tempoh masa perjanjian akan berdasarkan jumlah wang yang dikutip dan bukannya tempoh masa perjanjian.

“Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar adalah tidak bertanggungjawab dan sama nadanya dengan menteri yang mengarahkan untuk keluar dari Malaysia.

“Menteri yang menyertai Kabinet dengan tidak berlatarbelakangkan politik seperti Datuk Paul Low dan Wahid perlu menunjukkan profesionalisme dan prihatin kepada beban rakyat,” katanya semasa ditemui pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Dzulkefly berkata pengumuman kenaikan harga tol di antara 30 sen dan RM1 ditambah dengan kenaikan harga gula dan petrol sebelum ini sangat menekan rakyat apatah lagi tambang pengangkutan awam dan bas sekolah juga bakal dinaikkan.

Bekas ahli parlimen Kuala Selangor itu turut menyebut dalam klausa perjanjian itu ada menyatakan mengenai kadar pulangan dalaman (IRR) yang telah dicapai maka tiada keperluan menaikkan kadar tol.

“Rakyat pada masa ini tidak mengetahui kadar aliran trafik sesebuah lebuh raya. Jika dilihat aliran trafik seperti di Lebuhraya Pantai Bahru (NPE) dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur, ia mempunyai purata 50,000 buah kenderaan sehari.

“Kerajaan tidak harus mengizinkan kenaikan tol ini. Kenyataan menganjurkan pengguna menggunakan jalan biasa adalah tidak bertanggungjawab kerana kadar kemalangannya yang tinggi,” katanya.

Dzulkefly turut menyifatkan kenaikan harga tol itu tidak mengutamakan rakyat tetapi hanya menguntungkan kroni.

Akhbar hari ini melaporkan 15 lebuh raya yang kebanyakannya di Kuala Lumpur, dijangka akan menaikkan kadar tol di antara 50 sen hingga RM2 bermula Januari 2014.

Lebuhraya yang terbabit adalah Lebuh Raya Pantai Baru (NPE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Sprint, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Maju (Mex), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Smart dan Lebuhraya Sistem Lingkaran-Kajang (Silk).

Menteri Kerja Raya Datuk Fadillah Yusof berkata menurut perjanjian konsesi lebuh raya, syarikat konsesi boleh menyelaras semula kadar tol setiap tiga tahun.

Katanya, syarikat konsesi tidak melakukannya dalam tempoh enam tahun terakhir. Justeru, peningkatannya akan dibuat dua kali ganda.

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata tidak banyak syarikat di dunia boleh mencapai kadar keuntungan sebelum cukai seperti Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus) kerana kos penyelenggaraan mereka hanya 6% daripada jumlah pendapatan tol.

Katanya, apa yang tidak didedahkan adalah tempoh konsesi sudah pun dilanjutkan malah katanya kenaikan harga itu bercanggah dengan manifesto Barisan Nasional sebelum pilihan raya tahun ini iaitu pengurangan kadar tol adalah satu daripada matlamat mereka.

"Saya berpendapat kenaikan kadar tol yang menjejaskan kebanyakan warga Lembah Klang dan Kuala Lumpur adalah cara mereka untuk menghukum pengundi," katanya yang turut mendesak kerajaan mengadakan rundingan semula bersama syarikat konsesi lebuh raya.

Rafizi berkata rundingan semula itu perlu kerana syarikat pemegang konsesi tol sudah pun menikmati keuntungan yang besar.

Katanya, berdasarkan analisis keuntungan Plus  adalah sebanyak 61% pada 2011 manakala Litrak Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damansara-Puchong dan Lebuhraya Sprint, menerima keuntungan RM180 juta tahun lalu daripada jumlah pungutan tol sebanyak RM369 juta.-TMI

No comments:

Post a Comment